Enam amuk di restoran ditahan dalam bas persiaran


Mersing: Akibat merusuh kerana tidak berpuas hati dengan harga makanan dan minuman didakwa mahal di sebuah restoran, di sini, enam lelaki ditahan selepas bas persiaran yang dinaiki mereka dipintas polis di Endau, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari, enam lelaki terbabit dikatakan menaiki sebuah bas persiaran dari Kota Tinggi ke Maran, Pahang dipercayai untuk upacara keagamaan tetapi singgah di bandar ini untuk makan tengah hari.

Difahamkan, sebaik selesai menjamu nasi ayam dan minuman keras, suspek yang tidak berpuas hati dengan bayaran RM87 dikenakan bertindak di luar dugaan apabila menendang serta menterbalikkan meja makan selain menghempas kerusi dalam restoran itu.

Pemilik restoran berusia 42 tahun yang kesal dengan kejadian itu membuat laporan polis selepas enam lelaki terbabit menaiki semula bas.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, sejurus menerima laporan daripada pengadu, pihaknya menjalankan Op Tutup dengan bantuan Unit Peronda Polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing dan anggota Balai Polis Endau.

“Pihak kami berjaya memintas sebuah bas persiaran di Endau sebelum menahan enam lelaki yang dipercayai merusuh di restoran berkenaan. Mereka ditahan reman di IPD Mersing hingga Rabu ini untuk membantu siasatan,” katanya. - Hmetro

No comments:

Powered by Blogger.